Peladang Sabah sambut baik Belanjawan 2024 Negeri Sabah

Peladang Sabah sambut baik Belanjawan 2024 Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyambut baik Belanjawan 2024 Negeri Sabah yang memberi fokus terhadap pertanian sebagai salah satu sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, peruntukan sebanyak RM813.56 juta untuk menyokong pembangunan ketiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan akan merancakkan lagi pertumbuhan sektor-sektor berkenaan.

Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah pada tahun 2024 amat dialu-alukan oleh rakyat dengan peruntukan sebanyak Rm1.82 juta untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran.

“Warga peladang di Sabah juga sangat mengalu-alukan komitmet Kerajaan Negeri yang akan memberikan Insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta disediakan tahun hadapan.

“Usaha dan insentif ini diyakini akan dapat membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi negeri yang sekaligus akan meningkatkan tahap sara diri (self-sufficiency level (SSL)) beras Sabah.

“Ini penting demi keterjaminan makanan negeri dan mengurangkan import beras dari luar negeri”, katanya ketika mengulas Belanjawan 2024 Negeri Sabah yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat.

Belanjawan 2024 Sabah berjumlah RM5.701 bilion berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM5.737 bilion, dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi berkata, Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap SSL semua bekalan bahan makanan terus meningkat.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan lagi usaha untuk memajukan sektor pertanian dengan pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenal dan dilaksanakan melalui program-program pembangunan tanaman, akuakultur, penternakan, perladangan getah dan pembangunan usahawan tani.

Mohd Nazri juga menyambut baik komitmen kerajaan negeri bagi pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan sebanyak RM5.16 juta.

Ini termasuklah kajian terhadap varieti padi yang sesuai ditanam di kawasan sawah padi yang dimasuki air masin khususnya Pantai Timur Sabah akan diteruskan dan teknologi tanaman padi tanah kering juga akan diperkenalkan kepada petani.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|