Pegawai kastam lepas tembakan selepas kereta dilanggar pengedar dadah – polis

Pegawai kastam lepas tembakan selepas kereta dilanggar pengedar dadah – polis

Lahad Datu: Beberapa das tembakan dilepaskan oleh sepasukan pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah selepas sebuah kereta dinaiki dua lelaki disyaki pengedar dadah melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa terbabit ketika cuba melarikan diri daripada kepungan.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, di sini, turut disaksikan oleh beberapa orang awam yang berada di sekitar tempat kejadian dan mereka sempat mengambil gambar sebelum ia tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang semalam, selepas sepasukan pegawai JKDM Sabah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga kerana disyaki membawa dadah.

Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga bertindak agresif melarikan diri dan melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa JKDM.

Dalam keadaan mempertahankan diri, pegawai penguat kuasa terbabit bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang bagi memperhentikan kereta suspek.

Namun suspek terus bertindak agresif meloloskan diri menuju ke arah Kampung Layung, di sini menyebabkan pegawai penguat kuasa mengejarnya.

Kereta suspek ditahan selepas masuk ke jalan mati di kawasan kampung berkenaan dan kedua-dua suspek berjaya diberkas.

Pegawai penguat kuasa turut menemui sebuah bungkusan disyaki berisi dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad dalam kenyataan medianya mengesahkan ada menerima laporan polis daripada JKDM Lahad Datu, hari ini berhubung kejadian melepaskan tembakan ketika operasi menahan dua lelaki pengedar dadah yang berlaku, jam 3.30 petang semalam.

Katanya, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 23 dan 24 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh berikutan daripada laporan polis yang dibuat oleh JKDM Lahad Datu.

“Siasatan polis juga mendapati seorang daripada suspek itu memiliki dua rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan-kesalahan jenayah dan narkotik.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Jabatan JKDM Lahad Datu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|