KOTA KINABALU: Organisasi media memainkan peranan penting dalam memastikan industri kewartawanan di Sabah terus kekal utuh dengan penglibatan generasi muda sebagai pelapis dalam bidang berkenaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata ini berikutan tidak ramai anak muda ingin menjadikan bidang kewartawanan sebagai pilihan kerjaya kerana antaranya tawaran gaji yang diberikan kurang menarik.
“Saya difahamkan tidak ramai anak muda memllih atau mahu menceburi bidang kewartawanan sebagai kerjaya mereka. Mungkin sudah tiba masanya untuk organisasi media menawarkan gaji dan insentif-insentif yang bersesuaian.
“Ini bagi memastikan lebih ramai generasi muda menyertai bidang kewartawanan ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Kinabalu Press Awards 2023 di sini pada Sabtu.
Mengenai majlis itu, beliau percaya penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA) setiap tahun akan menyuntik semangat kepada semua wartawan untuk terus menghasilkan bahan berita berimpak tinggi dan memberi kesan positif kepada pembaca.
“Majlis ini adalah untuk mengiktiraf pengamal media yang telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang cemerlang. Saya melihat penganjuran KPA ini terus relevan dalam memberikan penganugerahan kepada pengamal media di negeri ini. Semoga pengiktirafan malam ini dapat meningkatkan lagi kualiti kewartawanan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh baharu tiga tahun mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan negeri berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah dan berjaya merekodkan kutipan hasil yang tertinggi iaitu mencecah sehingga RM7 bilion.
“Dengan prestasi ekonomi yang baik, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif. Kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam urusan pendidikan mereka seterusnya peluang pekerjaan.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pemegang Amanah SJA dan Mantan President SJA, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden Sabah Journalists Association (SJA), Datuk Muguntan Vanar.
Hadir sama Pengurus Besar Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz; Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan, Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman; Pengarah Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr Johnson Tee dan Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Lucy Irene Yong serta editor dan pengamal media di Sabah.
Deasoka