Op Selamat 19: 5 maut, 25 pecah rumah dan 19 individu ditahan

Op Selamat 19: 5 maut, 25 pecah rumah dan 19 individu ditahan

Kota Kinabalu: Lima kemalangan maut, 25 kes pecah rumah dan 19 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dicatatkan sepanjang Op Selamat 19 yang dilancarkan sempena Tahun Baharu Cina 2023.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, operasi yang dijalankan selama sembilan hari itu turut mencatatkan 409 kemalangan jalan raya.

Katanya, kadar kemalangan berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 106 kes berbanding tempoh sama pada Op Selamat 17.

“Bagi kes kemalangan maut, Op Selamat 19 mencatatkan lima kemalangan maut berbanding Op Selamat 17 yang mencatatkan enam kematian.

“Bagi kes pecah rumah pula, sebanyak 25 kes dilaporkan namun tiada kejadian kes pecah rumah bagi tuan rumah yang memaklumkan kepada pihak polis untuk pulang bercuti,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 100 laporan borang balik kampung diterima dan pihak melakukan sebanyak 1,189 lawatan ke semua rumah-rumah terlibat.

Sementara itu Idris berkata, sepanjang tempoh sama, pihaknya turut menjalankan sebanyak 157 operasi dan 6,845 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, 19 individu ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mabuk dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Sepanjang Op Selamat 19, sebanyak 44 kenderaan pelbagai jenis turut dirampas dan disita atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, pihaknya berharap semua lapisan masyarakat dan pengguna jalan supaya sentiasa berhati-hati serta mengamalkan sikap tolak ansur semasa memandu di jalan raya.
 
“Keselamatan di jalanraya adalah menjadi tanggungjawab bersama agar kita dapat mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini.

“Semoga perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini disambut dengan meriah dan selamat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|