NDRC UMS aktif dalam Bengkel PTO Gempa Negara

NDRC UMS aktif dalam Bengkel PTO Gempa Negara

Kota Kinabalu: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat dalam Bengkel Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana (PTO) Gempa Bumi Negara anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini, baru-baru ini.  

Program itu antara lain bertujuan untuk mengemas kini PTO Gempa Bumi seiring dengan peredaran semasa serta memastikan agensi-agensi yang berkaitan menggunakan teknologi yang terkini.  

Di samping itu, ia bagi mempersiapkan negara agar sentiasa bersedia apabila berhadapan ancaman bencana gempa terutamanya di negeri Sabah.

“Penglibatan NDRC dalam program ini adalah amat penting dan sangat signifikan kerana negeri Sabah lebih kerap terdedah dengan ancaman gempa bumi”…Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Payus.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Payus, usaha proaktif dari pihak kerajaan persekutuan, negeri dan daerah adalah amat penting dalam mengemas kini penyelarasan bidang kuasa agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi tindakan serta arahan gerakan agar lebih jelas dan cekap serta berkesan dalam mengendalikan bencana apabila berlaku gempa bumi di negara kita.  

“Penglibatan NDRC dalam program ini adalah amat penting dan sangat signifikan kerana negeri Sabah lebih kerap terdedah dengan ancaman gempa bumi.  

“Bagi negeri Sabah, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat himpitan pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia, selain disebabkan pergerakan sesar aktif tempatan.  

“Pihak NDRC telah mengeluarkan rujukan dalam pembinaan dan reka bentuk bangunan di Malaysia agar mampu bertahan sekiranya berlaku gegaran gempa menerusi penyelidikan daripada Felo Utama Seismik Gempa dan Kejuruteraan NDRC, UMS, Ts. Dr. Noor Sheena Herayani.  

“Sementara pemetaan Garis Sesar Zon Bahaya Seismik terutamanya di negeri Sabah, menerusi penyelidikan Felo Penyelidik Geologis NDRC, UMS, Ts. Dr. Hardianshah Salleh, hasil kerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG),” jelasnya.  

Bengkel yang berlangsung selama empat hari itu turut disertai Majlis Keselamatan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah, Taman-taman Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah.  

Turut serta adalah Pejabat Daerah Kota Belud dan Ranau serta Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah (APM) yang juga penganjur bersama bengkel tersebut menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN).  

Bengkel tersebut telah dirasmikan penutupannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.  

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|