Mohon SAR jangan dihentikan, percaya Derrent masih hidup – keluarga

Mohon SAR jangan dihentikan, percaya Derrent masih hidup – keluarga

Kota Kinabalu: Keluarga salah seorang kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu, percaya adik dan empat kru kapal lain masih memerlukan bantuan.

Keluarga terbabit turut memohon agar operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh agensi keselamatan di negara ini.

Sandra Littor (duduk dua dari kiri) dan Lyli (duduk tiga dari kiri) ketika sidang media di kediaman mereka di Kampung Melawa KKIP, Kota Kinabalu.

Malah, mereka turut melahirkan kekesalan terhadap pemilik dan wakil syarikat perkapalan kerana sehingga saat ini tidak menghubungi keluarga kru kapal untuk memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Sandra Littor, 32, berkata, keluarga berharap pihak syarikat MV Dai Cat 06 dan wakil syarikat terbabit tampil bagi memberi penjelasan dan kerjasama sepenuhnya.

Katanya, sehingga ke saat ini, syarikat itu masih belum membuat apa-apa penjelasan termasuk menjelaskan mengenai keadaan sebenar membabitkan adiknya, Derrent Littor, 22 tahun.

“Kami difahamkan, kapal kargo sebelum ini dibenarkan memunggah besi walaupun tidak berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Kami mahu pihak yang terbabit bertanggungjawab terhadap kapal kargo itu dan tampil menjelaskan kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Melawa KKIP, di sini, hari ini.

Sandra berkata, mereka hanya mengetahui insiden kehilangan kapal kargo itu dari rakan sebelum berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, keluarga difahamkan setakat ini hanya ada enam laporan polis dibuat iaitu satu daripada ejen kapal kargo di Lumut dan lima laporan lagi daripada keluarga kru kapal.

“Saya dan keluarga berharap, syarikat MV Dai Cat 06 dan mereka yang terbabit untuk tampil memberi penjelasan kepada keluarga kru kapal yang terbabit.

“Sebab kami masih lagi tertanya-tanya kenapa? dan maklumat mengenai kejadian itu kami hanya peroleh daripada Maritim Malaysia sahaja.

“Kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 dihentikan oleh pasukan keselamatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

“Operasi SAR ditamatkan dan hanya rondaan rutin dijalankan di perairan Indonesia dan Malaysia. Ini bermaksud tiada lagi SAR, sekiranya terdapat apa-apa petanda mereka akan aktif SAR semula.

“Jadi di sini, keluarga mengharapkan supaya SAR diteruskan. Saya dan keluarga sentiasa positif bahawa adik dan empat kru lain sekarang ini sangat-sangat memerlukan bantuan,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, seorang lagi kakak Derrent, Lyli Littor, 28, berkata kali terakhir dia menghubungi Derrent pada jam 1.47 petang, 1 Januari lalu.

Katanya, ketika itu adiknya memaklumkan berada di perairan Singapura dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Derrent beritahu dia sentiasa memakai jaket keselamatan menyebabkan kami sekeluarga bimbang lebih-lebih lagi dengan kejadian ini.

“Kami sekeluarga berharap agar operasi SAR diteruskan kerana kami percayai adik (Derrent) masih perlukan bantuan,” katanya.

Menurutnya, Derrent mula bekerja di syarikat MV Dai Cat 06 pada 28 Oktober dan tamat perkhidmatan pada April tahun ini.

“Adik (Derrent) bekerja di syarikat perkapalan selama enam bulan untuk mengambil pengalaman dan ambil sijil yang lebih tinggi. Saya berharap syarikat kapal kargo itu bagi kerjasama kepada pasukan Maritim Malaysia supaya pasukan keselamatan boleh meneliti dan menyiasat dengan lebih jelas kerana setakat ini tiada apa-apa penemuan. Begitu juga dengan keluarga supaya syarikat kapal ini tampil beri penjelasan.

“Saya bersama keluarga kini ke arah positif supaya Derrent dan kru lain dapat ditemui dengan selamat,” katanya.

Sehingga kini, masih tiada gambaran jelas kejadian menimpa kapal dan kru MV Dai Cat 06.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kapal berukuran 52 meter itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.

Lima kru kapal kargo itu membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia. Nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.

Warga Malaysia adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.

MV Dai Cat 06 yang keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember.

Ejen kapal membuat laporan polis pada 9 Januari lalu bahawa lokasi terakhir kapal dikesan menerusi ‘Automatic Identification System’ (AIS) adalah pada 1 Januari di perairan Indonesia, iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|