Kes demam denggi di Tawau membimbangkan

Kes demam denggi di Tawau membimbangkan

Tawau: Situasi demam denggi di daerah ini membimbangkan berdasarkan jumlah kes yang tinggi dengan sebanyak 87 kes dilaporkan dalam tempoh 15 hari pertama tahun ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan berkata, jumlah itu meningkat mendadak berbanding hanya lapan kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Katanya, perkembangan itu sangat merisaukan selain memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan penyakit bawaan vektor itu terkawal.

Jelasnya, setakat ini sebanyak dua wabak tidak terkawal direkodkan di daerah ini dengan purata kira-kira 10 kes setiap hari.

“Kita sangat risau terutama apabila kes melibatkan kanak-kanak kerana sekiranya lewat mendapatkan rawatan boleh berlaku perkara yang tidak diingini.

“Walaupun belum ada kes kematian disebabkan denggi di daerah ini, tetapi ia perlu dibendung sebelum keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Harapan Kasih Kukusan Bergerak, di sini, semalam.

Menurutnya, beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan berlaku peningkatan kes demam denggi antaranya hujan dan sikap masyarakat yang tidak peka terhadap kebersihan di rumah.

Dr Shameer berkata, pihaknya bekerjasama dengan semua wakil rakyat di daerah ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan yang lain bagi mengatasi masalah itu.

“Kita sudah berbincang supaya ditubuhkan satu ‘task force’ daripada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya bersama-sama memantau kes di kawasan mereka.

“Dalam tempoh sebulan ini, semua jabatan yang terlibat komited dan berusaha untuk menurunkan kadar kes demam denggi di Tawau,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya masyarakat memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan yang datang ke kawasan mereka.

Katanya, program pendidikan berhubung kepentingan penjagaan kesihatan juga dilaksanakan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat terutama hal kebersihan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|