Mohd Shafie meludah ke langit, terkena muka sendiri: Joniston

Mohd Shafie meludah ke langit, terkena muka sendiri: Joniston

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diibarat seperti meludah ke langit apabila mempersoalkan kematangan politik di negeri ini dengan terbentuknya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ikatan politik baharu yang stabil.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai berkata, Mohd Shafie seperti lupa bahawa beliau sendiri telah mengetuai satu kerajaan pada 2018 yang dibentuk hasil tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) ketika itu yang melompat parti.

Katanya, cubaan Mohd Shafie dan segelintir ADUN Umno untuk menggulingkan kerajaan GRS pada Januari tahun ini juga sukar diterima rakyat dan merupakan sejarah hitam dalam politik negeri.

“Kenyataan Mohd Shafie di Parlimen baru-baru ini umpama meludah ke langit, terkena ke muka sendiri. Itulah hakikatnya jika kita mengungkap sejarah bagaimana Warisan mampu mentadbir Sabah selepas pilihan raya umum 2018.

“Beliau kini bercakap dengan nada hipokrit macamlah partinya menang besar pada 2018 sedangkan hakikatnya mereka memerintah kerana ada ADUN lompat parti, ini dia lupa.

“Kini apabila wakil rakyat Sabah sudah semakin matang dan bersatu demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri, beliau pula berusaha merosakkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya sempena Persidangan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah baru-baru ini berkata, pembentukan GRS menggambarkan kematangan politik Sabah apabila parti-parti tempatan bersatu demi kepentingan negeri ini.

Mohd Shafie bagaimanapun menyangkal kenyataan itu dan mengkritik kematangan politik di Sabah kerana mendakwa ia berlaku melalui tindakan lompat parti.

Harus juga diingat bahawa ADUN Umno dan Parti Warisan yang menyertai GRS berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan tindakan tidak demokratik Mohd Shafie dan beberapa ADUN Umno untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

“Begitu juga dengan ADUN Pakatan Harapan yang enggan bersama Mohd Shafie dan sebaliknya menyokong Hajiji demi untuk kestabilan politik,” kata Joniston yang juga merupakan ADUN Kiulu.

Mengulas  lanjut, Joniston berkata, tindakan Mohd Shafie pada Januari lalu merupakaan satu cubaan rampasan kuasa yang berlaku secara terang-terangan dan melanggar semangat demokrasi.

Tegas beliau, GRS telah mendapat mandat secara sah daripada rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri lalu, justeru kerajaan dibentuk secara demokratik membabitkan kerjasama parti-parti tempatan dan rakan sekutu daripada BN.

“Tetapi kestabilan politik yang dikecapi itu hampir musnah disebabkan nafsu politik pemimpin ini yang cuba membentuk kerajaan tebuk atap.

“Mereka cuba mempengaruhi beberapa parti tempatan dan PH untuk menukar sokongan tanpa rasa malu dan bersalah kepada majoriti rakyat Sabah yang sudah membuat keputusan memilih GRS.

“Adakah Mohd Shafie berpendapat rampasan kuasa yang dirancang itu berperlembagaan? Sudah tentu dia tidak peduli sebab mahu mengejar nafsunya untuk memerintah Sabah,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|