Maximus dilantik Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah

Maximus dilantik Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah

Kota Kinabalu: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, hari ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Sambil menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau berkata ia merupakan satu penghormatan kepada PBS.

“Saya akan berusaha untuk berkhidmat kepada ECoS dan industri tenaga Sabah dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media selepas menerima surat pelantikan di pejabat Ketua Menteri, di Menara Kinabalu, hari ini.

Maximus mempunyai pengalaman luas sebagai menteri persekutuan selama empat penggal, termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Marudu dari 1995 hingga 2022, menegaskan bahawa Sabah mempunyai kekuatan dan potensi yang besar dalam sumber tenaga terutamanya dalam sumber hijau yang boleh diperbaharui seperti solar, hidro, angin dan biojisim.

“Kita akan pastikan bahawa segala isu berkaitan ECoS akan dilaksanakan demi kebaikan Sabah dan rakyat di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|