2 nama kementerian negeri ditukar

2 nama kementerian negeri ditukar

Kota Kinabalu: Kabinet negeri dalam mesyuarat mingguannya hari ini meluluskan pertukaran nama dua kementerian.

Kementerian terbabit ialah Kementerian Pertanian dan Perikanan yang kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) serta Kementerian Pembangunan Perindustrian yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

Ketika mengumumkan pertukaran nama itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu bagi memastikan objektif, fungsi dan peranan kementerian lebih jelas, terutama mengenai keselamatan makanan dan kepentingan usahawan termasuk usahawan kecil dan sederhana.

Katanya, selaras dengan rombakan Kabinet Negeri dan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan, Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk menyelaraskan bidang kuasa setiap anggota Kabinet negeri dengan kementerian yang ada di Persekutuan.

Berikutan itu, katanya Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Persekutuan akan berada di bawah bidang kuasa Timbalan Ketua Menteri I/MAFFI, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, manakala Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Persekutuan di bawah Timbalan Ketua Menteri II/
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

“Kementerian Kerja Raya Persekutuan pula diletakkan di bawah Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya manakala Kementerian Kewangan di bawah Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, manakala Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di bawah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

“Seterusnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diletakkan di bawah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Menteri Keusahawanan, Phoong Jin Zhe,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan pula diletakkan di bawah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin, manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan diletakkan di bawah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Arif.

Sementara itu, katanya Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib akan menjaga Kementerian Kesihatan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kementerian Perpaduan Negara.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga melantik pengerusi penganjur bagi pelbagai sambutan dan acara perayaan negeri iaitu Arifin untuk Maulidur Rasul, Tilawah Al-Quran, Maal Hijrah dan Hari Raya Aidil Fitri, manakala Jeffrey bagi sambutan Kaamatan.

Selain itu, Masidi pula dipilih mempengerusikan sambutan Hari Kebangsaan, Christina bagi Hari Malaysia dan Dr Joachim bagi program ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|