Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS meningkat lagi

Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS meningkat lagi

Kota Kinabalu: Setakat jam 4 petang ini, seramai 628 mangsa daripada 187 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan masih terkesan akibat bencana banjir yang melanda di empat daerah, di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 599 mangsa daripada 183 KIR yang dilaporkan pada jam 8 pagi tadi.

Penyediaan keperluan asas, termasuk bekalan minuman untuk mangsa banjir di Telupid.

“Antara daerah yang masih mencatatkan mangsa ialah Telupid (455 mangsa), Paitan (122 mangsa), Lahad Datu (45 mangsa) dan Beluran (6 mangsa).

“Kesemua mangsa kini ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah-daerah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Setakat ini, katanya, antara PPS yang beroperasi ialah Dewan SMK Pamol, Dewan Kg Bauto, Dewan Kg Mauu, Masjid (Lama) Gana Jati dan Balai Raya Kg Pinunuanakan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan telah mengeluarkan dan memindahkan seramai 56 mangsa banjir dari PPS Dewan Suasa, Beaufort.

“Pasukan Bomba bersama agensi lain bertindak mengeluarkan dan memindahkan mangsa yang terdiri daripada 21 dewasa, lima warga emas, 29 kanak-kanak dan seorang bayi.

“Seterusnya mangsa terbabit telah dihantar ke PPS Dewan Selagon dan operasi ditamatkan pada jam 2.48 petang tadi. Namun, pemantauan di lokasi terjejas banjir masih dijalankan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|