Formula KEPKAS ringankan beban pengunjung susulan kenaikan yuran masuk pusat pelancongan

Formula KEPKAS ringankan beban pengunjung susulan kenaikan yuran masuk pusat pelancongan

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) menghasilkan formula bagi meringankan beban pelancong yang disebabkan kenaikan yuran masuk di beberapa pusat tarikan pelancongandi negeri ini bermula 1 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, antaranya membabitkan yuran permit pendakian Gunung Kinabalu, bayaran masuk ke Taman Kinabalu dan Kolam Air Panas Poring.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya telah meluluskan formula itu selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim dan pasukan pengurusannya pada Isnin lalu.

“Kita memberikan tempoh penangguhan selama tiga bulan, dari Oktober hingga Disember 2022 sebelum pelaksanaan yuran baharu.

“Untuk tempahan berbayar sebelum 1 Januari 2023, kita masih menggunakan kadar lama. Ini kerana pakej telahpun dijual sebelum pengumuman kenaikan yuran pada 26 Oktober 2022.

“Bagaimanapun, semua pakej yang dijual selepas 1 Januari 2023 adalah berdasarkan kadar baharu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pertanyaan orang ramai dan media, serta rayuan untuk pertimbangan daripada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah/Labuan.

Pada minggu lalu, satu delegasi daripada MATTA Sabah/Labuan yang diketuai oleh Lawrence Chin telah membangkitkan perkara itu kepada beliau semasa mengadakan kunjungan hormat.

Sehubungan itu, Liew berkata, langkah itu dilakukan untuk membantu ejen pelancongan dan pelancongan tempatan serta pelanggan mereka.

“Sebagai contoh, untuk seorang pendaki dewasa warga negara, yuran permit terdahulu ialah RM50, manakala sebanyak RM200 untuk pendaki dewasa bukan warganegara. Kedua-duanya telah meningkat sebanyak 100 peratus.

“Sementara itu, bagi yuran masuk ke Kinabalu Park dan Poring Hot Spring, hanya RM3 bagi setiap dewasa tempatan dan RM15 bagi setiap dewasa pelancong luar.

“Yuran terkini ialah RM10 dan RM50 bagi setiap dewasa,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|