Masalah capaian internet perlu diselesaikan

Masalah capaian internet perlu diselesaikan

Kota Kinabalu: Masalah capaian internet luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Beaufort perlu diambil perhatian serius dan diatasi dengan segera terutama bagi memudahkan urusan seharian penduduk di kawasan itu.

Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Aminah Aching dalam perjumpaan singkatnya dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamamed Fadzil di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Aminah berbincang Ahmad Fahmi berhubung usaha meningkatkan liputan internet di Parlimen Beaufort.

“Capaian internet adalah satu keperluan, justeru dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin liputan internet kawasan luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Beaufort mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort terdapat beberapa kampung antaranya di Batu 60, Halogilat dan kampung terpencil belum menikmati capaian internet yang memuaskan.

Keadaan itu, katanya bukan saja menjadi masalah kepada penduduk kampung, malah memberi kesan kepada pelajar memanfaatkan pembelajaran dalam talian dan mencari sumber rujukan.

“Saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital dapat menyelasaikan isu capaian internet ini kerana ia menjadi keperluan bukan sahaja memudahkan komunikasi malah memudahkan urusan penduduk sekitar.

“Saya merayu supaya perbanyakkan menara telekomunikasi di kawasan ini. Banyak urusan sekarang memerlukan capaian internet yang baik,” katanya

Dalam pada itu, menurut Aminah pihak Kementerisn Komunkasi dan Digital mengambil maklum dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah liputan internet khususnya di kawasan Parlimen Beaufort.

Sementara itu, Aminah yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Beaufort menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai belanjawan cakna kepada keperluan rakyat.

Katanya, peruntukan pembangunan yang disediakan untuk Sabah dan Sarawak memerlukan pelaksanaan yang lebih efektif bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan sasaranya mencapai matlamat serta jadual yang ditetapkan.

“Jika ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur ianya akan mencapai sasaran yang diharapkan dan rakyat tidak akan menunggu lebih lama untuk melihat sebarang perubahan dari segi pembangunan insfrastruktur dan pembangunan yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|