Lelaki curi buah sawit diberkas

Lelaki curi buah sawit diberkas

Tawau: Kegiatan seorang lelaki mencuri buah kelapa sawit dalam ladang di Kampung Batu 14, Jalan Apas, di sini, memakan diri apabila ditahan polis, kelmarin.

Suspek warga tempatan berusia 48 tahun itu ditahan jam 4.05 petang selepas menerima maklumat orang awam.

Buah sawit yang dicuri oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota yang menjalankan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Bandar Sri Indah menerima maklumat dan membuat tangkapan terhadap seorang lelaki yang diserahkan oleh orang awam.

Katanya, susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah kenderaan pikap bersama 52 tandan buah sawit.

“Anggaran tandan buah sawit yang dirampas bernilai kira-kira RM600 yang berada dalam kenderaan berkenaan.

“Suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri buah kelapa sawit.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di daerah ini yang menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya suspek terbabit.

“Saya berharap dapat bekerjasama dalam menangani jenayah dan dadah serta menjadikan Tawau sebagai sebuah daerah yang aman dan sejahtera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|