Mangsa bot karam ditemui lemas

Mangsa bot karam ditemui lemas

Tawau: Mangsa kejadian bot karam yang hilang di perairan sungai Melayu pada Jumaat ditemui lemas oleh orang kampung, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) negeri Sabah berkata, mayat mangsa, Abd Rahman Kasil, 56, ditemui orang kampung pada jam 7.10 pagi, 200 meter dari lokasi bot tersebut karam.

Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jeti pelabuhan perikanan Tawau lama oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk diserahkan kepada pihak ambulan untuk di bawa ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, pada Jumaat, mangsa bersama isterinya, Norlina Arifin, 45, bergerak dari Kampung Titingan menuju ke Sungai Melayu hendak menghantar botol mineral kosong untuk kegunaan rumpai laut.

Setibanya di lokasi kejadian, bot mangsa terlanggar sebuah objek terapung lalu karam ketika menghampiri perairan sungai Melayu.

Bagaimanapun, isteri mangsa berjaya diselamatkan orang kampung dan dihantar ke hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa dilaporkan hilang sehinggalah mayat mangsa ditemui pagi tadi oleh orang kampung melalui Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) hari kedua.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|