Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil akan diwujudkan di peringkat Daerah

Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil akan diwujudkan di peringkat Daerah

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang memperincikan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat daerah, di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah antara pendekatan baharu bagi memperkasakan tadbir urus pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil.

Ewon mempengerusikan sesi libat urus bersama pegawai daerah dan penolong daerah seluruh Sabah di Kota Kinabalu.

Katanya, majlis itu akan menjadi platform bagi menyelesaikan hal pelesenan dan perkara lain membabitkan kemudahan ruang niaga penjaja serta peniaga kecil di daerah seluruh negara.

“Oleh itu saya mencadangkan supaya majlis peringkat daerah ini dipengerusikan oleh pegawai daerah dan penolong pegawai daerah kecil kerana bidang kuasa mengenai penjaja dan peniaga kecil berada di bawah pentadbiran pejabat daerah.

“Bagi mengurus majlis ini, kementerian juga mencadangkan supaya sejumlah geran pentadbiran disalurkan terus kepada pejabat daerah untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus bersama pegawai daerah dan penolong daerah seluruh Sabah, di dewan mesyuarat Pejabat Suruhanjay Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bagi membolehkan kementerian menyediakan peruntukan pembangunan penjaja dan peniaga kecil-kecilan seluruh negara, data penjaja dan peniaga di setiap daerah perlu disediakan.

“Tujuan mendapatkan data khusus penjaja dan peniaga kecil-kecilan di kawasan perkadaran atau luar perkadaran adalah untuk membolehkan kementerian merancang bajet pembangunan termasuk tamu tradisi di kawasan kampung pada masa akan datang.

“Ini antara wawasan saya yang akan saya bangkitkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan kelak.

“Setakat ini kementerian hanya mempunyai data melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun. Itulah sebabnya kementerian ingin bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah di seluruh negara untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam sesi libat urus itu juga, Ewon bersetuju dengan cadangan agar kementeriannya dan semua agensinya memberi taklimat kepada pegawai daerah di Sabah mengenai skim atau program pembangunan keusahawanan.

Taklimat mengenai cadangan struktur dan terma rujukan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat Daerah (MPUKPPD) disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Azizul Alias.

Turut serta dalam sesi libat urus itu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Haji Zamri Salleh; Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Datuk Adam Abd Ghani; Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Umar Sarim Saidin dan Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha (Keusahawanan Industri Desa), Cornella Han mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|