15,000 bantuan bakul makanan diedarkan ke daerah terkesan banjir – James

15,000 bantuan bakul makanan diedarkan ke daerah terkesan banjir – James

Kota Kinabalu: Sebanyak 15,000 bantuan bakul makanan telah disediakan dan siap untuk diagihkan ke daerah-daerah yang terkesan akibat bencana banjir di negeri ini.

Malah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, bantuan makanan itu telah mula diedarkan ke daerah terjejas bermula hari ini.

James merasmikan Mini Karnival OKU@PDK Sabah 2023 di SICC), Kota Kinabalu.

“Kita telah menyediakan sebanyak 15,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat, seperti Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Labuk dan lain-lain.

“Pada masa yang sama, saya akan ke Kota Marudu untuk melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sana, dan seterusnya ke daerah-daerah terkesan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Mini Karnival OKU@PDK Sabah 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Ketika diminta untuk mengulas sekiranya terdapat penduduk yang tidak dapat berpindah, beliau berkata, pihak berwajib akan sentiasa memantau mereka, selain menghantar bekalan makanan.

“Kakitangan kita, khususnya pihak keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) akan menghantar bekalan makanan dan seterusnya mengawasi mereka.

“Kita juga akan cuba untuk memujuk mereka agar berpindah ke PPS demi keselamatan mereka, tetapi kalau yang kita boleh kawal, kita akan kawal kerana kita juga telah mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, James menegaskan bahawa pihaknya akan sentiasa mengawal serta memantau situasi semasa banjir di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|