Letupan kuat selamatkan empat beranak daripada kebakaran

Letupan kuat selamatkan empat beranak daripada kebakaran

Kota Kinabalu: Bunyi letupan kuat mengejutkan Herianto Lapance, 34, seterusnya menyelamatkan isteri dan dua anaknya daripada mangsa kebakaran membabitkan enam rumah yang musnah terbakar di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, seorang anggota bomba dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas namun keadaan stabil manakala seorang penduduk turut cedera dan diberi rawatan awal oleh pasukan penyelamat.

Enam rumah di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, musnah terbakar, pagi tadi.

Menceritakan kejadian kebakaran itu, Herianto berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang tidur di dalam bilik manakala isterinya dan dua anaknya berusia 4 dan 6 tahun berada di ruang tamu rumah.

“Saya terjaga sebaik terdengar letupan kuat lalu keluar daripada bilik dan melihat bumbung rumah berasap.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan enam rumah yang musnah terbakar di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Selepas itu, saya terus mendakap anak-anak dan isteri lalu keluar dari rumah dan sempat menyelamatkan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, api marak dengan begitu cepat tanpa sempat menyelamatkan harta benda.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, hanya pakaian yang saya pakai sahaja yang tinggal. Semuanya musnah.

“Saya terpaksa menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu,” katanya.

Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.06 pagi.

Katanya, seramai 20 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan enam rumah yang musnah dan operasi pemadaman menggunakan empat aliran daripada sumber air jentera.

“Terdapat seorang anggota dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas ketika operasi pemadaman dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi terkawal pada jam 9.16 pagi.

“Anggota bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dan menyelamatkan lebih 50 buah rumah daripada terbakar.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|