Bina hospital atau klinik baharu ganti Klinik Kesihatan Manggatal – Mustapha

Bina hospital atau klinik baharu ganti Klinik Kesihatan Manggatal – Mustapha

Kota Kinabalu: Sebuah hospital atau klinik baharu perlu dibina bagi menggantikan Klinik Kesihatan Manggatal, di sini, sejajar keperluan semasa terutama untuk menampung pertambahan penduduk.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, ketika ini klinik berkenaan sudah usang dan tidak dapat menampung pertambahan pesakit yang semakin ramai.

Mustapha meninjau keadaan Klinik Kesihatan Manggatal.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila ruang menunggu agak sesak hingga memaksa pesakit beratur panjang di luar klinik menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca panas atau hujan.

“Ketika ini saya difahamkan hanya 24 orang Pegawai Perubatan atau doktor yang bertugas. Di samping itu dua doktor pakar terpaksa berkongsi lima bilik yang ada untuk merawat pesakit.

“Dalam masa sama hanya satu bilik sahaja disediakan katil pesakit. Doktor juga terpaksa menunggu giliran untuk menjalankan pemeriksaan.

“Rasanya untuk tempoh jangka masa panjang Klinik Manggatal ini sudah tidak releven kepada penduduk berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mustapha yang juga Ahli Palimen Sepanggar berkata, pusat pemeriksaan suhu di klinik itu juga terlalu sempit, selain kawasannya sering dilanda banjir.

Jelasnya, keadaan itu menunjukkan situasi klinik itu yang tidak selesa khususnya kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Stor ubat juga sering kali tidak mencukupi. Sudah tentu kawasan ini memerlukan ruang baharu dilengkapkan dengan pendingin hawa untuk keselesaan pengunjung.

“Kita berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif untuk melihat keperluan agar Klinik Manggatal ini diberikan keutamaan dalam meningkatkan keperluan pesakit dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dijadual melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Manggatal, esok dipercayai bagi melihat keadaan klinik berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|