Lelaki warga emas dilapor hilang di Bingkor

Lelaki warga emas dilapor hilang di Bingkor

Keningau: Seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di kawasan sebuah kolam ikan di Bingkor, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi mangsa dilaporkan hilang sebaik menerima aduan jam 2 petang tadi.

Katanya, anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu SAR warga emas berkenaan.

“Tindakan pasukan bomba bersama agensi bantuan PDRM dan APM menjalankan SAR di sekitar kolam berkenaan.

“Namun mangsa belum ditemui. Operasi ditangguh pada jam 5 petang tadi dan akan disambung semula pada esok pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, katanya menurut adik mangsa, abangnya selalu mengalami kekejangan otot dan sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.

“Kali terakhir abangnya (mangsa) dilihat pada Jumaat lalu di lokasi terakhir di kolam ikan berkenaan.

“Pekerja kolam ikan menemui baju jaket warna hitam, telefon bimbit, power bank dan gergaji.

“Adiknya bersama pengusaha kolam cuba berusaha mencari di sekitar kolam namun gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan,” katanya.

Difahamkan, mangsa bekerja di kolam ikan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|