Kota Marudu: Seramai 38 individu membabitkan sembilan keluarga dipindahkan selepas rumah mereka di Kampung Sibaung, Pitas, di sini, dinaiki air, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, semua mangsa terbabit dipindahkan ke sebuah surau berhampiran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 6.18 petang.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bomba bersama pacuan empat roda dan bot terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Semua penduduk kampung yang dipindahkan membabitkan seorang bayi bersama 14 kanak-kanak dan 23 individu dewasa.
“Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5 petang.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seramai 17 penduduk di Kampung Sinansak Batu, Pitas, terpaksa dipindahkan kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Kejadian membabitkan enam keluarga itu dipindahkan ke sebuah surau berhampiran selepas rumah mereka turut dinaiki air.
Mengikut laporan PGO bomba Sabah, semua mangsa yang dipindahkan membabitkan tiga bayi, tujuh kanak-kanak dan 17 wanita.
Difahamkan, pasukan operasi bomba seterusnya bergerak ke lokasi lain untuk melakukan kerja-kerja pemindahan.
Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka