Kota Belud: Seorang lelaki melecur di bahagian belakang bahu selepas rumahnya di Kampung Tanjung Pasir Labuan, di sini, musnah terbakar, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 35 tahun melecur ketika cuba mencari anaknya di bahagian dapur yang sedang terbakar.
Namun dua anak serta isteri mangsa berjaya keluar dari rumah berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.07 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak sebelum operasi pemadaman dijalankan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki melecur 15 peratus di bahagian belakang bahu dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan, media hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada 4.55 petang dan kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan musnah sepenuhnya.
“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat jam 6.06 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-Deasoka