Lelaki siram cat merah, ugut jenayah dipenjara dua tahun sembilan bulan

Lelaki siram cat merah, ugut jenayah dipenjara dua tahun sembilan bulan

Sandakan: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman dua tahun sembilan bulan penjara, di Mahkamah Sandakan, pada Jumaat, selepas mengaku bersalah atas empat kesalahan perbuatan khianat dan satu kes ugutan jenayah.

Tertuduh, Mohd Hasifuddin Yamin Jamain, 34 tahun dijatuhkan hukuman berkenaan setelah membuat pengakuan bersalah terhadap lima pertuduhan yang di bacakan terhadapnya di dua Majistret berasingan.

Mengikut Pertuduhan pertama, pada 22 November 2022, bertempat di Taman Murni, Sandakan, tertuduh melakukan perbuatan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah pada pintu rumah seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM96.50.

Pertuduhan kedua, pada 16 Mei 2023, di Taman Bahagia, Sandakan, tertuduh melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah pada pintu hadapan rumah mangsa wanita berusia 42 tahun dan menyebabkan kerugian RM2,400.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, pada 21 Februari 2023, di Taman Kenari, Sandakan, lelaki itu melakukan khianat dengan kaedah sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM52.50 terhadap mangsa lelaki berusia 20 tahun.

Ketiga-tiga kesalahan berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Mohammad Azzeem Mohd Ridzo mengenakan penjara 12 bulan penjara bagi ketiga tiga kesalahan berkenaan dan mengarahkan agar hukuman dijalankan secara serentak.

Bagi pertuduhan keempat dan ke lima pula, Mohd Hasifuddin Yamin turut membuat pengakuan bersalah dihadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kesalahan ugutan jenayah dan khianat.

Mengikut kertas pertuduhan keempat, pada 19 Februari 2023, bertempat di Taman Sejati, Sandakan, tertuduh didakwa melakukan ugutan secara jenayah dengan meninggalkan nota amaran kepada mangsa lelaki berusia 68 tahun.

Manakala, pertuduhan kelima, pada 22 Mac 2023, bertempat di Taman Nuri, Sandakan, Mohd Hasifuddin Yamin melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di rumah mangsa wanita berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM50.

Bagi kesalahan ugutan jenayah, hukuman boleh dikenakan penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau keduanya.

Manakala, kesalahan perbuatan khianat boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lebih lima tahun atau denda atau keduanya.

Majistret, Wan Farrah Farriza kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan keempat dan penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kelima.

Wan Farrah Farriza turut mengarahkan agar hukuman penjara dijalankan secara berasingan.

Terdahulu, tertuduh membuat rayuan bagi semua pertuduhan, agar hukuman dikurangkan kerana memiliki tanggungan iaitu isteri, empat orang anak dan tiga daripadanya masih bersekolah.

Lelaki berkenaan juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan jenayah terbabit.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Zamri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|