Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta

Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta

Penampang: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir berhadapan sebuah premis di Taman Jumbo, Petagas, di sini, hari ini.

Mangsa yang berusia 57 tahun itu ditemukan orang ramai yang menyedari lelaki itu tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Proton Iswara sebelum menghubungi polis jam 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HQE Kota Kinabalu, bagi tindakan lanjut untuk mengetahui punca kematian.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi menularkan serta memuat naik di media sosial berhubungi imej atau video di tempat kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|