Kejayaan Malaysia ketepikan perintah penahanan ‘waris’ sultan Sulu suntik semangat rakyat Sabah – Bung Moktar

Kejayaan Malaysia ketepikan perintah penahanan ‘waris’ sultan Sulu suntik semangat rakyat Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO Sabah menyifatkan kejayaan Malaysia mengetepikan perintah penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik yang difailkan pihak mendakwa waris kesultanan Sulu sebagai sesuatu yang mampu menyuntik semangat baharu kepada rakyat Sabah.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kejayaan itu juga memberi kelegaan kepada rakyat Sabah dalam usaha mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicabuli anasir luar.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pasukan peguam yang dibentuk oleh Jabatan Peguam Negara di atas kejayaan awal Malaysia dalam mengetepikan Perintah Penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik negara yang difailkan oleh waris kesultanan Sulu di mahkamah Luxembourg bersabit tuntutan mereka berjumlah AS14.92 billion.

“Kejayaan awal ini memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat baharu kepada rakyat Sabah untuk mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicabuli oleh anasir luar.

“UMNO Sabah sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes-kes litigasi membabitkan tuntutan waris kesultanan Sulu di beberapa buah negara di Eropah seperti Luxembourg, Sepanyol dan Perancis terhadap kedaulatan wilayah Sabah.

“Adalah menjadi pendirian tegas UMNO Sabah bahawa Sabah adalah sebuah wilayah merdeka serta berdaulat dan telah memilih untuk bersama-sama Sarawak dan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia.

“Apa jua usaha dan cubaan untuk mencabar kedaulatan negara akan ditentang habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, kekebalan kedaulatan Malaysia diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.

Katanya, sebarang bentuk tuntutan dan penguatkuasaan penghakiman terhadap Malaysia adalah melanggar prinsip dan doktrin antarabangsa mengenai kekebalan sesebuah negara.

“Ini termasuklah penganugerahan timbang tara oleh penimbang tara, Dr Gondoza Stampa terhadap tuntutan waris kesultanan Sulu berjumlah hampir AS15 billion adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang.

“Meskipun kejayaan awal Malaysia mengenepikan Perintah Penahanan ini bersifat relief interim dan belum sepenuhnya menamatkan tuntutan waris kesultanan Sulu di Luxembourg, Sepanyol dan Perancis, namun kejayaan awal ini diharapkan menjadi pencetus dan dorongan kepada mahkamah di Sepanyol dan Perancis untuk menolak tuntutan waris kesultanan Sulu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|