Lelaki dengan 15 kes jenayah lampau didakwa miliki pistol tiruan

Lelaki dengan 15 kes jenayah lampau didakwa miliki pistol tiruan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki memiliki 15 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah pecah rumah, curi dan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan.

Tertuduh, Jaccqres Kadau, 51, berasal dari Kampung Bingkor, Keningau membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mengikut pertuduhan, pada 1.30 pagi, 8 Februari lalu, bertempat di Damai Plaza, Kota Kinabalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan dan memeriksa sebuah kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandu tertuduh.

Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol tiruan warna hitam tertulis ‘glock’ menyerupai senjata api, sebilah samurai dan pelbagai peralatan disyaki untuk melakukan jenayah pecah rumah.

Turut ditemui sepasang baju operasi polis dan waran kad Konstabel Sukarelawan Polis (SSPDRM) dalam milik tertuduh.

Tangkapan dan rampasan dibuat dan tertuduh di bawah ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine.

Semakan lanjut juga mendapati kelengkapan polis yang ditemui dalam milik tertuduh pernah dilaporkan hilang di Kampung Tuavon, Penampang pada 4 Februari 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata api 1969 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana melakukan kesalahan menagih dadah berulang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Suzie@Stephanie Kupit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mac 2023.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|