Landasan kereta api hubungkan Sabah/Sarawak ke Indonesia

Landasan kereta api hubungkan Sabah/Sarawak ke Indonesia

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan perlu masukkan Tenom dalam agenda Transformasi Perkhidmatan Kereta Api Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan landasan kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Indonesia, kata Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Katanya, ini penting kerana ia akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Tenom terutamanya dalam aspek Hub Logistik Kargo Pertanian dan Makanan.

Beliau juga mahu Kementerian Pengangkutan memberikan tumpuan untuk menaik taraf kemudahan asas di Stesen Kereta Api Tenom selari dengan komitmen Menteri Pengangkutan untuk memastikan setiap stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di seluruh negara dilengkapi dengan kemudahan asas.

“Saya mohon agar Kementerian Pengangkutan tidak melupakan Tenom dalam perancangan pembangunan dan transformasi perkhidmatan kereta api kerajaan persekutuan”, katanya semasa membahas Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Riduan juga meminta Kerajaan menuntut semula hak ruang udara Malaysia yang sebelum ini diserahkan kepada Singapura bagi tujuan seliaan pada tahun 1974 menerusi Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974).

Katanya, antara faktor penyerahaan seliaan ruang udara itu atas saranan pihak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) disebabkan pada ketika itu Kawasan Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur (FIR) masih di peringkat awal dan fasiliti Malaysia ketika itu tidak mencukupi.

“Namun setelah hampir 49 tahun serahan penyeliaan tersebut dibuat, kini Malaysia mempunyai fasiliti penerbangan terbaik di dunia. Justeru, sudah tiba masanya hak ruang udara ini dikembalikan semula kepada Malaysia”, tegasnya.

Menurutnya, penyerahaan seliaan ruang udara itu secara tidak langsung telah mengakibatkan penerbangan yang menghubungkan laluan di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung terpaksa melalui ruang udara yang diselia oleh Singapura atau secara automatik melalui ruang udara antarabangsa.

Tambahnya, kini timbul persoalan adakah faktor penerbangan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung yang melalui ruang udara antarabangsa itu menyebabkan harga tiket penerbangan menjadi mahal kerana pihak penyedia penerbangan perlu membayar caj penggunaan ruang udara kepada Singapura kerana telah melalui ruang udara mereka yang diserahkan penyeliaannya menerusi perjanjian OLOA 1974.

Sehubungan itu beliau meminta penjelasan Menteri Pengangkutan sama ada pengambilan semula ruang udara ini oleh kerajaan Malaysia akan menjadikan harga tiket penerbangan menjadi murah?

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|