Kutipan balik pinjaman bolehkan TEKUN bantu usahawan baharu – Ewon

Kutipan balik pinjaman bolehkan TEKUN bantu usahawan baharu – Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kutipan balik pinjaman daripada usahawan TEKUN Nasional membolehkan agensi itu membantu lebih ramai usahawan baharu.

Beliau berkata, sehingga 31 Oktober tahun ini sahaja, TEKUN Nasional berjaya memberikan pinjaman sehingga RM922 juta hasil kutipan semula daripada para peminjam Tekun dan daripada jumlah itu RM467.2 juta pembiayaan pertama kali kepada seramai 26,481 usahawan.

Katanya, walaupun tahun ini Tekun hanya diperuntukkan sejumlah RM430 juta iaitu RM330 juta (Belanjawan 2023) dan RM100 juta (Program Mikro Madani) namun agensi itu berjaya memberikan pembiayaan sehingga RM922 juta hasil kutipan semula daripada usahawan yang membuat pinjaman daripada Tekun.

“Ini bermakna, Tekun Nasional berjaya memberikan pendidikan dan mengingatkan para peminjam untuk membayar balik pembiayaan mereka mengikut jadual yang ditetapkan seterusnya membuka peluang kepada usahawan-usahawan baharu membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sini, hari ini.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang bertanya sejauh mana kejayaan Skim Pembiayaan Orang Kurang Upaya (SP-OKU), Ewon berkata, ia mencapai matlamat berdasarkan kunjungannya ke premis-premis usahawan OKU.

“Saya yakin melalui kunjungan kepada usahawan OKU, mereka boleh berjaya dan dan pada saya kejayaan itu sepatutnya menjadi inspirasi kepada komuniti OKU yang lain untuk mendapatkan perkhidmatan dan pembiayaan seumpama itu.

“Tekun Nsional juga telah mempermudahkan proses permohonan selepas pandemik Covid-19 bagi menggalakkan lebih ramai usahawan mendapat manfaat daripada kesemua skim pembiayaan yang disediakan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|