KSTI anjur karnival kerjaya kurangkan kadar pengangguran

KSTI anjur karnival kerjaya kurangkan kadar pengangguran

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) akan mengadakan karnival kerjaya sebagai antara usaha ke arah mengurangkan kadar pengangguran belia di negeri ini.

Menteri KSTI, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama erat bersama Kementerian Sumber Manusia.

Arifin dan Mustapha ketika kunjungan hormat yang di pejabat KSTI di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu.

“Kita ada membuat dengan kerjasama daripada Kementerian Sumber Manusia berhubung karnival kerjaya di seluruh negeri Sabah dalam tempoh yang terdekat ini.

“Kerjasama itu juga akan sentiasa kita tingkatkan dan KSTI bersama Kementerian Sumber Manusia akan mengekalkan hubungan baik.

“Selain turut memantapkan hubungan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Bandaraya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Arifin menerima Kunjungan Hormat daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud ke KSTI, di pejabatnya itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa perkara telah dibincangkan yang bertujuan untuk memperkasa masyarakat di negeri ini.

“Kami telah berbincang mengenai beberapa hal berhubung dengan kerjasama kementerian ini dan mudah-mudahan, ia mampu memantapkan usaha membangun masyarakat dan rakyat di Sabah melalui kementerian,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihaknya sedang fokus untuk memberikan latihan tenaga mahir di negeri ini.

Jelas beliau, ia bagi memastikan tenaga mahir tempatan digerakkan oleh industri selain turut mengadakan kolaborasi bersama mereka.

“Saya menggalakkan anak-anak Sabah supaya mengambil peluang ini dan kita akan berkerjasama dengan KSTI untuk menjelajah di seluruh daerah di negeri ini.

“Ia bagi memastikan anak-anak Sabah kita akan diberi ruang dan peluang untuk bekerja sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Zainudin Aman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|