KPDN tingkat pemantauan rapat, penguatkuasaan kekang kartel

KPDN tingkat pemantauan rapat, penguatkuasaan kekang kartel

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertingkat pemantauan rapat dan penguatkuasaan pada tahun hadapan bagi mengekang kartel dalam tiga sektor utama yakni makanan, pertanian dan tipuan bidaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihak KPDN melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) akan memastikan langkah itu dilaksana untuk menghalang apa juga potensi kewujudan kartel terutamanya melibatkan penyarasan subsidi barangan pada tahun hadapan.

“Saya melihat pada tahun hadapan peranan MyCC ini jauh lebih penting kerana dua faktor. Pertama akan dilaksanakan penyasaran semula subsidi, maksudnya banyak barang-barang keperluan rakyat ini diapungkan.

“Apabila harga barang-barang rakyat ini diapungkan tanpa subsidi maka ia akan bergantung kepada pasaran dengan harga itu ditentukan pasaran.

“Jadi risiko wujudnya kartel-kartel dalam kalangan industri yang berpakat, sama-sama menaikkan harga, berpakat dari segi pasarannya, pengeluarannya, risiko kartel itu akan lebih meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan trek larian getah sintetik di Padang Pekan Papar, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, kewujudan kartel dalam bentuk manipulasi pasaran yang dilakukan untuk memaksimakan keuntungan secara luar munasabah amat merugikan negara ini.

Tambahnya, ia berikutan pendedahan MYCC berhubung lima syarikat pengisar makanan ayam yang dikenakan penalti sebanyak RM415 juta atas pembentukan kartel penetapan harga ayam.

“Kes ini terkait dengan manipulasi pakatan di kalangan industri yang terlibat dalam penghasilan dan pengeluaran bahan makanan ayam.

“Dan apabila wujudnya pakatan tersebut mereka telah bersama-sama untuk menaikkan harga secara pakatan dan kesannya apabila harga makanan itu naik, harga ayam yang ditawarkan kepada rakyat juga meningkat.

“Itu yang berlaku, kita melihat wujud ada bukti pakatan itu berlaku dan konsisten pada masa itu harga makanan meningkat dan harga ayam di pasaran juga meningkat pada masa tersebut,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|