Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia kukuhkan persefahaman

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia kukuhkan persefahaman

Kota Kinabalu: Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia memaknai Memorandum Persefahaman (MoU) Permuafakatan Kerajaan Perpaduan yang telah dimeterai pada 16 Disember lalu.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, persefahaman yang dirintis oleh para pemimpin lima parti gabungan utama tersebut telah disemarak dan diperkukuhkan di peringkat pimpinan akar umbi melalui kebersamaan dalam konvensyen tersebut.

Menurut beliau, ia turut disertai oleh rakan-rakan parti lain yang bersama membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Ya, benar apa yang dikatakan bahawa kami datang dari pelbagai perbezaan pendirian politik sejak sekian lama.

“Namun, jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini merupakan satu perkembangan positif yang amat signifikan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tidak perlu terbelenggu dengan persepsi negatif yang cuba dibentuk oleh pihak tertentu, apatah lagi untuk merasa apologetik.

Sebaliknya, beliau berkata, kita sebenarnya perlu berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat meletakkan perbezaan ketepi demi agenda besar.

“Rakyat dan negara ini memerlukan sebuah Kerajaan untuk melangkah ke hadapan pasca pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik berpanjangan.

“Jangan berterusan mangsakan rakyat dengan pertikaian politik kita. Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya.

“Kini, para ahli politik perlu menunaikan amanah dan fokus bekerja sehabis baik untuk rakyat.

“Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam Kerajaan Perpaduan bernikah secara paksa, yang penting kita bernikah secara sah.

“Kadangkala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|