KKDW salur RM400,000 baik pulih jambatan, jeti Pulau Pababag, Semporna

KKDW salur RM400,000 baik pulih jambatan, jeti Pulau Pababag, Semporna

Kota Kinabalu: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan peruntukan berjumlah RM400,000 untuk pembinaan semula jambatan dan jeti Pulau Pababag di Semporna, yang runtuh baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika berada di negeri ini bagi meninjau keadaan banjir di Pitas, pada 30 Januari lalu.

“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan, mengenai kejadian jambatan dan jeti kayu yang telah roboh di Pulau Pababag, Semporna.

Pengarah KKDW Wilayah Sabah, Johar Julasbi, menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Penolong Pegawai Daerah Semporna, Intan Rahimah Kabimbangan, di Jeti Pulau Pababag, Semporna

“Saya difahamkan pada ketika itu, terdapat 35 orang murid sekolah dan dua orang guru dari kampung sekitar yang baru tiba di jeti untuk ke sekolah di SK Pababag sekitar jam 6.20 pagi.

“Saya telah mengarahkan pihak KKDW untuk segera berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera.

“Laluan tersebut adalah laluan biasa bagi urusan pergerakan harian penduduk termasuk menghantar anak-anak ke sekolah serta Tadika Kemas, Pulau Pababag,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap agar pembinaan jambatan dan jeti ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 orang murid sekolah dan 35 orang murid Tadika Kemas ke sekolah.

“Selain itu ia juga untuk membantu penduduk kampung yang terjejas pergerakan harian mereka akibat jambatan dan jeti yang telah runtuh tempoh hari,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 30 saat yang menunjukkan beberapa guru cuba menyelamatkan sekumpulan murid yang lengkap berpakaian sekolah selepas jeti berkenaan runtuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|