Ranau: Penduduk Kampung Lembah Permai, Kundasang, di sini diarahkan supaya sentiasa berwaspada dan berpindah sekiranya berlaku mendapan tanah berterusan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.35 pagi tadi.
Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
“Penduduk kampung bertindak menghubungi pasukan bomba selepas menyedari berlakunya mendapan tanah di kawasan rumahnya.
“Susulan pemeriksaan dilakukan, ketua operasi memberi nasihat kepada penduduk untuk berpindah sekiranya keadaan semakin teruk,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kes kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia juga akan membuat pemeriksaan susulan di kawasan perkampungan yang terjejas.
“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 petang,” katanya.
-Deasoka