Kita kuatkan parti hadap PRN: Pemuda UPKO

Kita kuatkan parti hadap PRN: Pemuda UPKO

Kota Kinabalu: Pemuda UPKO Malaysia sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan awal.

Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang berkata, fokus utama dalam menguatkan parti sudah dirangka dan dilaksanakan sebaiknya di semua peringkat.

Katanya, ia adalah persediaan awal bagi sebarang kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sepatutnya berakhir pada September 2025.

“Apa yang perlu pergerakan pemuda lakukan selama ini ialah memperkuatkan parti dan sentiasa bekerjasama erat di setiap bahagian di seluruh negeri.

“Ia termasuk usaha melakukan pelayanan sebaiknya bagi mendekati pengundi tanpa mengira sebarang perbezaan dan membantu rakyat yang memerlukan dalam era pelbagai cabaran seperti kos sara hidup dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Retreat ‘Pemuda Pemangkin Aspirasi Rakyat’ di Hotel Tang Dynasty, di sini, semalam.

Program selama dua hari itu dirasmikan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dan turut dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti.

Felix berkata, pembentangan dan perbincangan dalam bengkel-bengkel melalui Retreat ini akan diperhalusi dengan satu Resolusi yang akan menjadi panduan serta dasar dan teras Pemuda UPKO menghadapi cabaran politik yang mendatang.

Katanya, usaha itu menjurus kepada bagaimana mengukuhkan keyakinan rakyat dan pengundi kepada parti tanpa perlu menunggu di saat-saat akhir.

“Persediaan itu juga merangkumi aturan strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti dan mengekalkan kerjasama dengan parti-parti gabungan sedia ada.

“Bekerja sebagai sebuah pasukan penting kerana ianya merupakan penentu kejayaan parti untuk berhadapan dengan pihak lawan dalam era yang mencabar termasuk arus baharu media sosial seperti Facebook, TitTok dan sebagainya yang menjadi platform menyerang parti serta pemimpin UPKO.

“Pemuda meramalkan cabaran pada PRN akan datang pasti bertambah hebat, oleh itu kita perlu perhebatkan persediaan dan gerakan kita bermula awal,” katanya.

Felix berkata, Pemuda UPKO tidak akan gentar sama sekali dengan siapapun lawan dan akan terus berjuang sebaiknya bersama rakan sekutu menggunakan kaedah politik sihat dan matang,”tegasnya.

Sementara itu, Presiden UPKO, Ewon dalam ucapannya berkata, beliau amat menyokong penuh usaha dan tindakan progresif yang dilakukan oleh pergerakan pemuda parti.

Katanya, UPKO komited untuk mengangkat isu-isu rakyat Sabah terutamanya dalam mencari penyelesaian membabitkan hak-hak Sabah.

“Dalam program retreat ini, saya gembira melihat usaha pemuda berbincang bersama mencari penyelesaian terutamanya membabitkan hak Sabah dan isu-isu semasa.

“Ini suatu perkara yang amat positif dan UPKO akan terus memainkan peranan penting dalam kerajaan perpaduan masa kini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|