Ketua UMNO Tawau sangkal tuduhan isteri

Ketua UMNO Tawau sangkal tuduhan isteri

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing menyangkal tuduhan yang dibuat isteri serta rakan isterinya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar pihak yang menjadikan masalah rumah tangganya itu sebagai modal politik untuk menjatuhkan martabat dan reputasinya.

“Saya ingin membuat penjelasan mengenai beberapa video yang tular, saya dengan sekeras-kerasnya menafikan tuduhan oleh isteri dan sahabatnya.

“Pihak di luar sana juga jangan politikkan perkara ini, saya lihat ramai yang ambil kesempatan terhadap masalah rumah tangga saya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal telah menyebarkan video isterinya yang mengatakan beliau didera oleh Ghazalie, serta video sahabat isterinya yang mendakwa telah dirogol oleh pemimpin UMNO itu.

Selain itu, isterinya turut mendakwa bahawa Ghazalie telah membayar polis untuk membuat laporan palsu, mengatakan dia telah melarikan duit suaminya.

“Saya cabar mereka supaya balik membuat laporan polis terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan, kenapa hanya membuat rakaman video dan bukan mengambil tindakan undang-undang?

“Dia (isteri) juga menuduh saya telah membayar polis, dakwaan apakah ini? Saya juga rakyat biasa yang apabila menghadapi masalah seperti ini, meminta bantuan polis mengikut saluran yang betul.

“Saya ke balai polis, pergi ke kaunter dan memberi keterangan kepada pegawai berkaitan.

“Saya akan membuat laporan polis terhadap tuduhan-tuduhan dasyat mereka kerana ini telah menjejaskan nama baik saya, anak-anak saya, keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazalie turut mendedahkan bahawa isterinya telah meninggalkan rumah dan anak-anak mereka pada 21 Februari lalu, dipercayai bersama dua rakannya.

Katanya, isteri dan rakannya itu dipercayai telah pergi ke luar negara dan kini berada di Jakarta.

“Ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan saya hanya mendapat tahu isteri saya telah keluar dari rumah selepas anak saya menelefon saya.

“Saya tidak faham kenapa dia sanggup meninggalkan tiga anak kami begitu saja tanpa penjagaan,” katanya lagi.

Katanya, tindakan isterinya melarikan diri dari rumah bukan kali pertama berlaku kerana dia juga pernah berbuat demikian pada Disember 2021.

“Saya juga hairan bagaimana mereka boleh ‘survive’ berada di luar negara sehingga kini, menurut maklumat yang saya terima mereka kini di Jakarta, Indonesia, sudah hampir tiga bulan, mana mereka dapat duit?

“Sehubungan itu, saya memberi amaran kepada pihak-pihak yang membuat tuduhan liar ke atas saya supaya menghentikannya atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|