Ketua Pemuda tanding Ketua Bahagian UMNO Sipitang

Ketua Pemuda tanding Ketua Bahagian UMNO Sipitang

Sipitang: Ketua Pemuda UMNO Sipitang yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, Sani Miasin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Sipitang pada pemilihan parti itu kali ini.

Sani mempertaruhkan reputasinya sepanjang menjadi Ketua Pemuda UMNO Sipitang, selain mengambil kira penampilannya selaku anak jati Sindumin sebagai aspirasi utama merebut jawatan nombor satu UMNO bahagian Sipitang itu.

Sani (kanan) mengemukakan borang pencalonan bertanding jawatan Ketua UMNO Sipitang.

Katanya, keputusan untuk bertanding juga bagi memberi ruang kepada usaha membawa misi pembaharuan kepada parti itu di Sipitang.

Jelasnya, menerusi misi pembaharuan itu, beliau antara lain menjanjikan fokus kepada pemantapan parti dan menjadikan UMNO sebagai wadah tepat kepada rakyat Sipitang memacu kemajuan ekonomi dan pembangunan masyarakat.

“Ya, saya secara rasmi sudah menghantar borang pencalonan untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Sipitang yang diterima di pejabat UMNO Bahagian.

“Berbekalkan pengalaman sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin manakala bagi pengalaman politik pula, pernah menjawat Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan calon BN Sindumin, saya berpandangan ia masa tepat untuk saya memberikan fokus kepada Ketua Bahagian sekiranya diberikan mandat oleh ahli-ahli yang mengundi.

“Kita sesungguhnya di Sipitang ini mengalami beberapa senario pengalaman cabaran politik yang mana saya juga menimba pengalaman itu, maka sebagai anak muda yang komited dalam perjuangan parti, saya amat berharap dengan sokongan dan dokongan daripada ahli parti di Sipitang untuk kita sama-sama membawa parti ini lebih ke hadapan,” katanya.

Menurut beliau, meskipun parti dilanda cabaran politik kini di Sabah, Sani beranggapan UMNO tetap relevan di mata rakyat kerana mempunyai trek rekod membawa pembangunan ekonomi negara.

“Saya sedar, banyak perkara yang menjadi buah mulut masyarakat termasuklah di Sipitang ini namun politik masa kini amat dinamik dan UMNO Sabah sudah beberapa kali berjaya menangani situasi sukar.

“Kita tetap yakin akan UMNO Sabah kekal relevan lebih-lebih lagi dengan kekuatan gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat yang mana UMNO merupakan antara tunjang utama kepada gabungan tersebut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|