Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Pantai Barat Sabah mendedahkan kesukaran peniaga di lot-lot kedai sewaan mahal untuk melaksanakan kempen Menu Rahmah seperti yang dihasratkan kerajaan.
Presidennya, David Chan berkata, peniaga berkenaan bukan sahaja terbeban dengan kadar sewaan yang tinggi, malah terpaksa menampung kos gaji pekerja serta bahan mentah.

Beliau berkata, tinjauan pihaknya mendapati usaha memperkenalkan Menu Rahmah lebih mudah dilaksanakan oleh gerai makan berbanding pengusaha restoran lot kedai bangunan.
“Bagi premis gerai biasa mereka tidak dibebani kos sewaan kedai yang mahal ditambah dengan kos gaji pekerja antara RM1,200 hingga RM1,500 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan sokongan mereka untuk menjayakan program Menu Rahmah.
“Semua mahu menjayakan usaha kerajaan membantu orang miskin dan mereka gembira untuk turut serta,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat membantu golongan peniaga berkenaan seperti mengurangkan kadar sewa bagi premis di bangunan milik kerajaan.
“Insentif ini sekurang-kurangnya dapat memberi galakan kepada peniaga untuk melaksanakan program Menu Rahmah. Jika peniaga membantu rakyat mengapa kerajaan atau pihak berkuasa tidak boleh membantu peniaga pula,” katanya.
-Deasoka