Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan menjalin kerjasama bersama Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam menjayakan program dan inisiatif pembangunan Bumiputera di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi TERAJU yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Md Silmi Abd Rahman di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Md Silmi memberi taklimat kepada Hajiji berhubung Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), iaitu pelan hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi dengan program dan inisiatif pembangunan yang ketara dan terperinci untuk memberikan impak kepada Bumiputera.
TPB2030 merupakan kesinambungan dasar dan rancangan Bumiputera terdahulu, dengan tujuan memperkasakan ekonomi Bumiputera bagi memastikan kemampanan dan kesaksamaan, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) supaya tidak ada Bumiputera yang ketinggalan.

Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah, Samsulkamar Mohamad Ali; Pengarah Bersekutu, Noorezly Aimy Mohd Noor dan Muhammad Hilmi Abd Adzis serta Ketua Program – Sabah, Md Redzuan Rahman.
Sementara itu, dalam kunjungan hormat berasingan, Hajiji menerima bayaran dividen RM17.243 juta daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar.
SESB turut menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Tabung Pendidikan Negeri yang diterima Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulam Haidar Khan. Bahadar.
-Deasoka