JHEAINS LD santuni Jemaah Dakwah Tabligh

JHEAINS LD santuni Jemaah Dakwah Tabligh

Lahad Datu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) cawangan Lahad Datu telah mengadakan Program Ramah Mesra bersama Jemaah Dakwah dan Tabligh di daerah ini, hari ini.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah, Nordin Nahanak berkata, kerjasama JHEAINS bersama jemaah dakwah tabligh serta jemaah masjid dan surau perlu dibuat dengan sistematik agar wujud keharmonian dalam setiap pergerakan.

“Kita perlu meraikan semua tanpa sebarang pengecualian. Untuk usaha dakwah ini, kita perlu bersatu dan kerjasama dari semua pihak termasuk jemaah dakwah tabligh amat diharapkan.

“Apa sahaja sistem yang kita akan guna pakai contoh borang kebenaran iktikaf atau aktiviti dakwah di masjid adalah untuk kebaikan bersama dan mengelak dari isu berbangkit,” katanya dalam satu majlis pada pagi Selasa.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) Lahad Datu ,Ustaz Sahijuan Sariul pula menyeru agar semua pihak bersatu hati dalam urusan agama termasuk urusan dakwah kerja mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Jemaah dakwah tabligh ini kita puji sanggup ketuk rumah ke rumah untuk ajak umat datang ke masjid untuk solat dan beramal, dan kita amat hargai usaha sebegini, bukan mudah dan kami pun tak mampu buat… namun kadangkala timbul isu berbangkit dari pihak pengurusan masjid terutama dalam pengunaan fasiliti masjid surau.

“Oleh itu kita perlu satu kaedah untuk mengharmonikan suasana ini, dan kami telah mencadangkan beberapa cara untuk selesaikan ehwal ini pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jemaah Dakwah Tabligh Lahad Datu, M Mustapa Mearop dalam ucapan pula menyatakan kesyukuran dan gembira kerana program ini adalah julung kali diadakan di daerah itu.

Menurut beliau, inisiatif dan niat baik pertemuan ini menjadi satu titik tolak dalam mewujudkan kerjasama dan komunikasi yang lebih baik di antara pihak jemaah ,pihak JHEAINS dan pihak PPMD untuk melancarkan urusan pergerakan jemaah dakwah tabligh di seluruh daerah ini.

“Seterusnya menghidupkan amalan 24 jam masjid seperti mana amalan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Imam kariah, Ustaz Mohammad Yunus Abu dan wakil-wakil dari jemaah dakwah tabligh seluruh daerah Lahad Datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|