Kerajaan negeri mampu capai kejayaan melalui pelan SMJ

Kerajaan negeri mampu capai kejayaan melalui pelan SMJ

Tawau: Kerajaan negeri berada di landasan yang tepat dan mampu meraih kejayaan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai sebuah kerajaan yang inklusif dan mampu berfungsi sebagai satu pasukan.

Nizam mewakili Ketua Menteri pada sambutan Pesta Tahun Baharu Cina Parlimen Tawau.

“Kita sudah membentuk pasukan yang boleh berkongsi aspirasi dan dibina atas kepercayaan serta saling menghormati.

“Ketika ini, kerajaan negeri fokus untuk memenuhi agenda pembangunan di wilayah kita dan sudah tentu masyarakat di Tawau tidak akan dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Pesta Tahun Baharu Cina Parlimen Tawau, di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hadir sama Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

Hajiji berkata, semua rakyat Sabah khususnya masyarakat Tiong Hua perlu bersama-sama menjaga keamanan dan kemakmuran wilayah ini.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai perancangan dalam memastikan keamanan dan kemakmuran wilayah ini sentiasa terjaga.

“Buktinya pada penghujung tahun lalu, kita berjaya mengumpul hasil lebih RM6.6 billion, malah telah memperolehi kuasa mengawal selia bekalan gas daripada kerajaan persekutuan.

“Justeru, pemberian kuasa ini adalah hadiah tahun baharu yang amat bermakna kepada kita di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang unik, lebih-lebih lagi di Sabah yang mana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Namun, katanya rakyat tanpa mengira kaum boleh meraikan semua perayaan seperti Tahun Baharu Cina dengan penuh rasa muhibah dan meriah.

“Kita seharusnya menjadikan perbezaan ini sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan bukan untuk memisahkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|