Teruskan cadangan bina penempatan baharu elak banjir – Bung Moktar

Teruskan cadangan bina penempatan baharu elak banjir – Bung Moktar

Kinabatangan: Cadangan mewujudkan penempatan baharu untuk penduduk yang tinggal berhampiran sungai di daerah ini perlu diteruskan sebagai langkah memastikan mereka tidak lagi terjejas akibat banjir.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau kekal dengan saranannya itu yang pernah disuarakannya sebelum ini berikutan keadaan penduduk yang sering terjejas disebabkan banjir.

Bung Moktar memberikan kata-kata semangat ketika menziarahi Nurkasmin yang menghadapi masalah kesihatan di Kampung Kasing Sayang Bukit Garam.

Katanya, di kawasan Kinabatangan, Kampung Pengkalan Bukit Garam yang berhampiran Sungai Kinabatangan adalah antara kampung yang terjejas teruk apabila banjir berlaku.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka namun boleh mendatangkan bahaya sekiranya banjir besar berlaku.

Bung Moktar menaiki sampan meninjau keadaan banjir di sekitar kampung Pengkalan Bukit Garam.

“Sebelum ini saya telah menyarankan agar penempatan baharu diwujudkan bagi menempatkan penduduk di kawasan ini. Bagimanapun ianya tidak mendapat maklum balas yang positif daripada mereka (penduduk),” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 50 orang ketua isi rumah di Kampung Pengkalan Bukit Garam dan Muhibah Tengah, di sini, semalam.

Dalam kejadian banjir yang berlaku di Pengkalan Bukit Garam, seramai lima keluarga ditempatkan di balai raya kampung berkenaan selepas rumah mereka ditenggelami air.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, beliau sebelum ini ada mengemukakan cadangan untuk menempatkan penduduk di kawasan Pengkalan Bukit Garam ke kawasan baharu.

Jelasnya, sebuah tapak telahpun dikenal pasti, namun cadangan itu tidak mendapat maklum balas yang positif daripada penduduk menyebabkan rancangan berkenaan tergendala.

“Saya mengulangi saranan ini dan berharap pejabat daerah dapat mengenal pasti kawasan sesuai dan selamat bagi penempatan semula penduduk yang terlibat.

“Kita juga berharap kerajaan dapat mencari keadah dan pendekatan yang sesuai agar cadangan ini dapat direalisasikan supaya penduduk di kawasan ini tidak berterusan terjejas apabila banjir berlaku terutamanya dari aspek keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan berharap pejabat daerah dapat membuat kajian terlebih dahulu lokasi baharu yang sesuai sebelum mengemukakan laporan kepada pihak atasan.

Selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan, Bung Moktar bersama rombongan bergegas ke Kampung Kasih Sayang, Bukit Garam bagi menziarahi bekas kakitangan beliau yang juga Ahli Jawatan Kuasa Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan, Nurkasmin Khoo yang menghadapi masalah kesihatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|