Kerajaan ambil berat isu pengemis jalanan, kanak-kanak Palauh

Kerajaan ambil berat isu pengemis jalanan, kanak-kanak Palauh

Tawau: Kerajaan negeri memandang serius isu pengemis jalanan termasuk membabitkan kanak-kanak Palauh yang menimbulkan kegusaran masyarakat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kerajaan negeri menerusi agensi yang berkaitan akan menangani isu itu dengan sebaik mungkin.

James meyantuni warga emas pada program Sinar Harapan Emas di Rumah Warga Tua Air Panas, Tawau.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil inisiatif mengurus golongan itu termasuk memberikan perlindungan dan pendidikan.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri akan membina sebuah rumah perlindungan di Kota Kinabalu sebagai tempat belajar kemahiran selama tiga bulan supaya mereka boleh hidup berdikari.

“Saya yakin masalah pengemis jalanan di ibu kota dapat diselesaikan dalam tempoh masa sebulan dari sekarang,” katanya pada program Sinar Harapan Emas, di Rumah Warga Tua Air Panas, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal.

Beliau berkata, rumah perlindungan juga akan dibina di Tawau dan Sandakan tidak lama lagi supaya masalah pengemis jalanan di negeri ini dapat diatasi sepenuhnya.

Katanya, semua pengemis yang sudah diberikan perlindungan dan diyakini mampu berdikari akan dihantar ke tempat yang mereka boleh bekerja.

Bagaimanapun, jelasnya inisiatif yang dibuat itu bukan menunjukkan kerajaan negeri memberikan keistimewaan kepada golongan pengemis.

“Ia menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mengatasi masalah yang tidak berkesudahan selama bertahun-tahun lamanya.

“Sekiranya tiada tindakan dan jalan penyelesaian diambil, sudah pasti ia memberikan impak negatif kepada negeri ini termasuklah masalah jenayah dan sektor pelancongan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga tidak menafikan kehadiran pengemis jalanan didalangi sindiket atau pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, katanya lokasi rumah perlindungan akan dirahsiakan supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|