Kerajaan Negeri bela nasib pekerja SFI

Kerajaan Negeri bela nasib pekerja SFI

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil tindakan prihatin bagi membantu nasib bekas pekerja Sabah Forest Industries (SFI) yang bergelut masalah sejak 2019.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, tindakan yang diambil atas dasar prihatin itu termasuk pembayaran gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Masalah terkini ialah pembayaran tunggakan bil elektrik bekas pekerja SFI yang berjumlah RM798,000.

“Walaupun kerajaan bersimpati dengan nasib mereka, tetapi bukanlah mudah untuk kerajaan negeri secara berterusan menyelesaikan kepayahan mereka untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abidin berkata, semua pekerja terbabit diberhentikan oleh bekas majikan iaitu syarikat pengilang kertas dan pulpa yang berpangkalan di India.

Katanya, syarikat Ballarpur Industries Ltd kini berada dalam Penerimaan (in Receivership) sejak 2017.

“Sementara menunggu kilang itu beroperasi semula oleh syarikat konsesi baharu, bekas pekerja dinasihatkan untuk melihat perkara itu secara realistik, sekali gus untuk mencari pekerjaan alternatif.

“Kerajaan Negeri juga meletakkan syarat bagi syarikat konsesi baharu itu untuk memulakan operasi dalam tempoh dua tahun. Bekas pekerja boleh memohon untuk bekerja di syarikat baharu,” katanya.

Abidin berkata, Pegawai Daerah Sipitang juga sudah diarahkan untuk menyelaraskan perkara ini dengan bekas pekerja SFI.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|