Kekalkan keharmonian, keamanan yang dikecapi – Hajiji

Kekalkan keharmonian, keamanan yang dikecapi – Hajiji

Kota Kinabalu: Kekal memelihara keharmonian dan keamanan yang telah dikecapi oleh rakyat dan negeri selama ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua rakyat Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama, dapat meraikan perayaan mereka masing-masing.

Sekitar Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Katanya, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Krismas dan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan.

“Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

Hajiji dan TC Goh ketika menghadiri Majlis Santapan Tahun Baru Cina 2023 anjuran FCAS dan kerajaan negeri.

“Sebab itu, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan itu dalam belanjawan negeri tahun ini. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, di sini, hari ini.

Hajiji dan TC Goh ketika menghadiri Majlis Santapan Tahun Baru Cina 2023 anjuran FCAS dan kerajaan negeri.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira melihat majlis itu bukan saja dihadiri masyarakat Tionghua malah turut dimeriahkan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.

“Ini juga adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyatnya,” katanya.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, yang menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan.

Majlis itu merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), yang kali pertama diadakan sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Sementara itu, Persiden FCAS, Tan Sri TC Goh berkata, dianggarkan hampir 5,000 hadirin yang terdiri daripada jemputan dan orang awam hadir memeriahkan sambutan itu.

Katanya, beliau berharap agar kerjasama dslam menyambut perayaan seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Saya rasa itulah matlamat rakyat inginkan, iaitu perpaduan, kerajaan stabil, dan rakyat berkerjasama serta bersatu hati memajukan Sabah.

“Harapan saya, yang penting ialah kerajaan stabil kerana ia merupakan yang paling penting. Semua orang berkerja keras, kita pasti boleh meningkatkan produktiviti yang lebih jaya untuk memajukan negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon, di Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|