Guna gelaran ‘Premier’ untuk jawatan Ketua Menteri – Pekadin

Guna gelaran ‘Premier’ untuk jawatan Ketua Menteri – Pekadin

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dicadangkan untuk mengikut jejak langkah Sarawak dalam mengguna pakai gelaran Premier bagi jawatan Ketua Menteri.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin), Newmond Tibin berkata, penyelarasan nama gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier wajar dibuat bagi menggambarkan kedudukan yang ‘setara’ dalam Persekutuan Malaysia.

“Mengikut perjanjian asal pembentukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya adalah setara.

“Dalam hal ini, Pekadin berpendapat bahawa gelaran jawatan Ketua Menteri seeloknya serupa atau sama iaitu Premier bagi Sabah dan Sarawak, selaras kedudukan kedua negeri itu yang setara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hal ini demikian kerana, Melaka dan Pulau Pinang yang termasuk dalam wilayah Malaya menerusi MA63 juga menggunakan gelaran Ketua Menteri.

“Tentu sekali tiada masalah terus menggunakan nama gelaran jawatan Ketua Menteri yang berbeza.

“Tetapi ada baiknya disesuaikan dengan tuntutan semasa dengan mengambil kira kedudukan yang setara dengan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, Pekadin menyarankan agar perkara itu dibawa dan dibincangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Mac depan.

Sebelum ini, gelaran jawatan Ketua Menteri Sarawak secara rasmi ditukar kepada kepada ‘Premier Sarawak’ pada 31 Mac 2022.

Ketika mengumumkan perkara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, dipetik sebagai berkata bahawa selaras dengan pertukaran nama gelaran itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak juga kini dikenali sebagai Pejabat Premier Sarawak.

Pada 15 Februari tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|