Bomba selamatkan kanak-kanak terkunci dalam kenderaan

Bomba selamatkan kanak-kanak terkunci dalam kenderaan

Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun yang terperangkap dalam sebuah kenderaan yang terkunci di kawasan parkir Econsave 2, di sini, hari ini berjaya diselamatkan dengan bantuan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.27 pagi.

Kanak-kanak lelaki berusia setahun yang terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terkunci dengan keadaan seorang kanak-kanak lelaki berada didalamnya.

“Pasukan bomba dengan segera bertindak membuka pintu kenderaan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

“Selepas berusaha hampir 10 minit, akhirnya pintu berjaya dibuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat dan diserahkan kepada keluarganya.

Sementara itu, Sumsoa memberitahu kes kereta terkunci di daerah ini mencatatkan jumlah yang agak tinggi sejak permulaan 2023.

Katanya, apa yang amat membimbangkan kebanyakan kes itu membabitkan mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan.

“Sepanjang 30 hari yang lalu, terdapat lima kes kenderaan terkunci dan empat kes daripadanya membabitkan kanak-kanak yang terperangkap.

“Justeru orang ramai khususnya di daerah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap kes sebegini. Setiap pemilik kenderaan perlulah lebih prihatin dan menahami keadaan kenderaan masing-masing supaya kejadian pintu terkunci dengan sendirinya tidak berlaku,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|