Keadilan Sabah hantar jentera bantu pilihan raya enam negeri

Keadilan Sabah hantar jentera bantu pilihan raya enam negeri

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sabah telah mengerahkan jentera pilihanraya bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (Harapan) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Negeri 2023 (PRN2023).

Jentera yang dihantar adalah melalui Ketua-ketua Cabang merangkumi 26 Cabang seluruh Sabah termasuk Labuan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Sangkar Rasam berkata beliau serta beberapa jentera berada di Kelantan untuk penamaan calon hari ini.

Menurut beliau, selepas ini jentera akan dipecahkan mengikut tugas masing-masing yang akan dipantau Ketua-ketua Cabang.

Pengerusi Harapan Sabah, Datuk Christina Liew, Naib Presiden Keadilan, Awang Husaini Sahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam yang merupakan Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim hari ini berada di Selangor.

Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud yang merupakan Ketua Cabang Kota Belud berada di Kedah bersama jentera pilihanraya manakala beberapa Ketua-ketua cabang lain berada di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Manakala, Jentera Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan pula akan dipecahkan ke semua negeri terlibat.

Sangkar berkata, Keadilan Sabah menghantar jentera terbaik bagi membantu sepanjang kempen sehingga hari pembuangan undi yang dijadualkan pada 12 Ogos.

“Dengan situasi semasa, saya yakin kerajaan Perpaduan akan mengekalkan pentadbiran negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kita melihat peluang cerah untuk mengambil alih pentadbiran negeri Kedah atas kegagalan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

“Untuk Kelantan dan Terengganu saya melihat peluang 50-50 dan ini sangat baik kerana gelombang perubahan semakin kuat di dua negeri yang sebelum ini ditadbir oleh PAS sejak sekian lama.

“Dengan isu air yang berlarutan sejak sekian lama, kemiskinan serta kedaifan infrastruktur mendorong kepada perubahan angin rakyat yang dilihat lebih kepada kerajaan Perpaduan.

“Begitu juga dengan kegagalan menyediakan peluang pekerjaan sehingga anak muda terpaksa meninggalkan negeri untuk mencari rezeki di negeri yang ditadbir kerajaan Perpaduan.

“Keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PAS yang telah mentadbir lebih dua dekad semakin pudar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, keyakinan rakyat Kelantan dan Terengganu beralih selepas melihat prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara dengan menitik beratkan kebajikan rakyat.

“Tindakan Perdana Menteri yang mengimarahkan Seri Perdana dengan program-program keagamaan serta kedatangan tokoh dan ilmuwan agama dari seluruh dunia membuktikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi lebih terjamin di bawah pentadbiran kerajaan Perpaduan, berbeza dengan apa yang dicanang pemimpin PAS sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin yang merupakan Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat dipertanggung jawabkan memantau dan membantu kempen di semua negeri terlibat.

Keadilan Sabah menggerakkan jentera terbaik yang mampu melaksanakan tugas dan bukan dari kelompok ‘pelancong politik’. Ini penting bagi memastikan kemenangan calon-calon Harapan dan BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|