Kota Kinabalu: Jualan kargo minyak pertama Sabah kepada Shell International Eastern Trading Company (SIETCO) memperlihatkan potensi positif negeri ini membangunkan industri berkenaan di masa hadapan.
Menurut Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah, langkah pengurusan minyak dan gas yang dikelolakan SMJ Sdn Bhd itu sekaligus menunjukkan Sabah berada di landasan tepat bagi memacu ekonomi semasa melibatkan industri tersebut.
“Jualan berkenaan turut menunjukkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor memperhebat usaha dalam memperbanyakkan penyertaan dalam industri minyak dan gas.
“Dalam masa sama, pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya juga semakin jelas dijalankan dengan pelbagai usaha pembangunan ekonomi dan perlu disokong rakyat Sabah, ” katanya.
Jelas Najib, dengan ‘khabar gembira’ tersebut, ia turut dilihat dapat menutup mulut pengkritik yang sering memperlekehkan usaha kerajaan ditadbir oleh Hajiji.
“Dengan adanya berita seperti ini, ia juga akan menutup mulut pengkritik yang mengatakan kerajaan ini tidak pandai berkerja.
“Bagi saya, kerajaan ini kurang minat berpolitik yang bukan-bukan akan tetapi lebih kepada kerajaan yang kuat bekerja demi rakyat dan jualan kargo minyak ini salah satu buktinya, ” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, hari ini, SMJ Sdn Bhd mengumumkan jualan kargo minyak pertama kepada SIETCO menerusi penyelesaian pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaannya dalam PSC Samarang pada 31 Mei.
Ia adalah bagi membenarkan Sabah menjual hak minyak mentahnya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada SIETCO di bawah kontrak.
Perkara itu kemudiannya akan diunjurkan membawa hasil berterusan untuk Sabah bagi tempoh PSC Samarang.
-Deasoka