Isu kecoh KLIA, ambil tindakan terhadap menteri jika ganggu tugas: Ronald

Isu kecoh KLIA, ambil tindakan terhadap menteri jika ganggu tugas: Ronald

Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),Datuk Seri Ronald Kiandee memohon agar insiden kekecohan KLIA yang dibayangi oleh seorang menteri kabinet, diadilli seadanya.

Menurut beliau, jika terdapat asas gangguan terhadap pegawai imigresen yang didakwa, maka kerajaan perlu bertindak demi membersihkan imej jabatan berkenaan.

“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dilaporkan oleh media telah memasuki Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menceroboh kaunter Jabatan Imigresen bagi mengganggu tindakan pegawai imigresen yang menahan seorang pelancong daripada negara asing.


“Walaupun kita difahamkan bahawa Menteri tersebut mempunyai pas khas untuk memasuki Terminal 1 KLIA namun tindakan beliau yang dikatakan menggangu pegawai imigresen daripada melaksanakan tugas dan amanah sah menahan pelancong negara asing tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seorang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya.

“Tindakan Menteri itu juga melanggar seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen iaitu menghalang, sama ada secara aktif atau pasif, mana-mana pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugasnya.

“Oleh itu, jika benar YB Menteri telah menggangu seorang pegawai imigresen daripada menjalankan tugas mereka, maka tindakan YB Menteri itu perlu diambil oleh kerajaan, “katanya.

Beliau yang juga Ketua Pimpinan BERSATU Sabah itu berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, baru-baru ini, berlaku kekecohan di KLIA susulan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) , Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk membebaskan pelawat China yang ditahan pihak imigresen.

Insiden tersebut turut tular di media sosial dan mendapat persepsi pelbagai daripada orang ramai.

King Sing, dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu mendedahkan bahawa kehadirannya di lokasi tersebut berdasarkan aduan pelancong dan mahu membongkar gejala rasuah yang dikaitkan segelintir petugas imigresen di pintu masuk, melibatkan pelancong luar negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|