Jemaah haji jadi duta negara – Aminah

Jemaah haji jadi duta negara – Aminah

Beaufort: Jemaah haji yang bakal menunaikan rukun Islam yang ke lima tahun ini perlu memiliki azam untuk menjadi duta yang mengharumkan nama negara di dalam segala aspek ketika menunaikan ibadah haji.

Timbalan Menteri Perladagan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, sebagai duta, nama baik serta imej negara perlu dijaga juga memberikan perhatian yang merangkumi aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu serta mengutamakan kebersihan.

Beliau berkata, Makkah dan Madinah ialah Tanah Suci, justeru jemaah harus menghindarkan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan dan mengotorkan kedua-dua bandar suci itu sepanjang masa.

“Laporan pada musim-mucim haji yang lalu, pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai urusan haji.

“Jemaah dari Malaysia pada tahun sebelum ini, meninggalkan imej yang memberikan identiti dan reputasi yang sangat positif terhadap rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan Jemaah haji dari Kawasan Parlimen Beaufort yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini di Gem Hotel Beaufort dekat sini kemarin.

Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, imej dan identiti positif yang tercipta pada tahun-tahun lalu oleh rombongan Jemaah haji Malaysia jangan dicemarkan, malah wajib dipertingkatkan.

Katanya, setiap jemaah perlu mengambil tanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah bantu membantu antara Jemaah haji Malaysia selain sentiasa mematuhi peraturan dan arahan dari Lembaga Urusan Tabung Haji setiap masa.

“Jemaah haji perlu mengamalkan sifat persaudaraan yang sejati iaitu dengan memuliakan insan lain, memiliki sifat belas, ihsan dan kasih terhadap mereka yang uzur, lemah dan berusia lanjut,” katanya.

Jelas beliau, apa yang perlu dilakukan oleh Jemaah Haji yang cergas dan berupaya ialah mengutamakan, memberi laluan dan membantu mereka yang uzur, lemah dan berusia lanjut itu untuk menyempurnakan ibadah terlebih dahulu dan menghulurkan apa juga bantuan kepada mereka yang berada dalam kedaifan.

Dalam pada itu, Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut memuji dan merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji di atas perkhidmatan cemerlang yang telah berjaya dibuktikan agensi berkenaan sejak sekian lama.

Menurut beliau, walaupun ada ketikanya Tabung Haji berhadapan dengan cabaran dan mengurus sejumlah besar Jemaah haji dari Malaysia besar, namun cabaran itu tidak menjejaskan perkhidmatan menguruskan urusan haji, dengan terus mengekalkan segala kemudahan diperlukan untuk keselesaan jemaah.

“Hargailah perkhidmatan yang disediakan oleh TH dan berikanlah segala kerjasama kepada kakitangan mereka, bermula daripada sikap yang ditunjukkan semasa berkursus, perjalanan udara dan darat, berada di Makkah dan Madinah, sehingga perjalanan pulang selepas selesai menyempurnakan ibadah haji,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|